
Nama Tempatan : Pegaga
Nama Saintifik : Centella Asiatica/Hydrocotyle Asiatica
Nama Lain : Tapak Kuda(Indonesia),Indian Pennywort, Gotu Kola
Famili : Apiaceae/Umbelliferae
Pengelasan saintifik
Alam : Tumbuhan
Divisi : Magnoliophyta
Order : Apiales
Famili : Apiaceae
Genus : Centella
Spesies : C. asiatica
Keterangan:
Pegaga
atau nama saintifiknya centella asiatica/hydocotyle asiatica ialah
sejenis ulaman popular orang melayu. Sejenis tumbuhan menjalar yang
tumbuh pada tanah yang agak lembab seperti kebun, ladang, tepi jalan dan
batas sawah. Ia pada asalnya dimakan sebagai ulam untuk menambahkan
selera makan kerana daunnya yang wangi dan manis. Ia mudah tumbuh
dikawasan tanah yang subur, agak lembab dan bersaliran baik. Ia membiak
melalui pecahan anak. Tumbuhan yang kecil ini besar khasiatnya. Ia kaya
dengan vitamin A dan C serta zat besi, sering dijadikan sayur-sayuran
‘rasmi’ untuk wanita ketika berpantang.
Biasanya seluruh bahagian
pegaga iaitu daun, tangkai daun, batang, bunga, buah, dan akarnya
mempunyai banyak kegunaan dan khasiat yang tinggi. Di Indonesia, bunga
dan buah pegaga tidak dimakan kerana ia dikatakan menjadi punca penyakit
reumatisme sekiranya terlalu banyak dimakan. Namun ada juga orang yang
yakin bahawa mereka akan beroleh umur yang panjang dan awet muda apabila
mengamalkan pengambilan pegaga dalam makanan harian mereka. Tetapi
berdasarkan kajian menunjukkan ia boleh dimakan selalu tetapi dalam
kuantiti yang sedikit sahaja bagi mendapatkan kesan positif. Ini kerana
pengambilan yang berlebihan akan mengakibatkan kesan narkotik dan
keracunan kumulatif yang meransang tumor untuk jangkamasa panjang.
Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengiktiraf pegaga sebagai herba menjana
kecerdasan berfikir terutamanya di kalangan kanak-kanak. Pegaga yang
dikenali juga sebagai Centella asiatica telah diperakui WHO kerana kaya
dengan pelbagai ramuan ubatan.
Fakta sejarah
Mengikut
ceritanya, pokok pegaga ini dimakan pada awalnya oleh penduduk India
setelah melihat gajah yang terkenal dengan umurnya yang panjang didapati
selalu mengunyah tumbuhan ini. Jadi ia dimakan pada asalnya untuk
memanjangkan umur. Kini ia diambil sebagai ulam dan jus kerana rasa dan
baunya yang menambahkan selera. selain dimakan mentah sebagai ulam,
pegaga juga boleh dimasak lemak dan dijadikan kerabu.
Kajian yang
dilakukan pada 1949, mendapati pegaga mujarab untuk mengubati penyakit
kusta dan ulser kerana ciri-ciri antibakteria yang ada padanya.
Penyelidikan seterusnya yang dijalankan sekitar tahun 1950-an pula
mendapati pegaga amat baik untuk menyembuhkan luka, kudis serta
mengubati kerengsaan kulit. Sebagai 'makanan menjana kecerdasan otak',
herba ini amat mujarab untuk memperbaiki fungsi minda seperti
meningkatkan daya ingatan dan penumpuan fikiran
Herba ini mula
digunakan dalam perubatan Ayurveda. Ia juga pernah digunakan dalam
perubatan herba Shennong di cina lebih kurang 2000 tahun yang lalu
Jenis-jenis Pegaga Di Malaysia
1. Pegaga Cina Atau Pegaga Nyonya
2. Pegaga Daun Lebar
3. Pegaga Kelantan
4. Pegaga Renek
5. Pegaga Salad
6. Pegaga Gajah
7. Pegaga Brunei
Kandungan
Pegaga
yang simplisianya dikenal dengan sebutan Centella Herba memiliki
kandungan asiaticoside, thankuniside, isothankuniside, madecassoside,
brahmoside, brahmic acid, brahminoside, madasiatic acid, meso-inositol,
centelloside, carotenoids, hydrocotylin, vellarine, tanin serta garam
mineral seperti kalium, natrium, magnesium, kalsium dan besi. Diduga
glikosida triterpenoida yang disebut asiaticoside merupakan antilepra
dan penyembuh luka yang sangat luar biasa. Zat vellarine yang ada
memberikan rasa pahit.
Pegaga juga mengandungi banyak sebatian
kimia dan bioaktiviti yang terbukti mengandungi ciri-ciri antibakteria,
antipasma, antiinflamasi, hipotensif dan insektisid. Dalam bidang
perubatan tradisi, ia digunakan sebagai agen anti alergi, anti kanser,
anti disenteri, peransang pembuangan urin, hipotensif, stimulan, tonik,
menyejukkan badan, mengeluarkan batu karang, penawar kencing berdarah,
kusta, gonorea,luka, kudis, dan sakit kerongkong. Pegaga juga
anti-infeksi, antiracun, penurun panas, melawaskan pembuangan air
kencing, antilepra dan anti sifilis.
Kegunaan:
Pegaga
dapat mengurangkan tekanan darah tinggi, mencegah nyanyuk, melambatkan
proses penuaan dan menolong badan dari bahan toksid. Kebelakangan ini
pegaga banyak digunakan di barat sebagai tonik saraf untuk merehatkan
dan menambahkan ingatan. Di India bagaimanapun ia juga banyak digunakan
untuk mengatasi masalah kulit.
Di timur pula, pegaga juga
digunakan untuk mengatasi masalah seperti kemurungan yang mungkin
disebabkan oleh masalah fizikal. Kajian terbaru menunjukkan pegaga
menunjukkan kesan positif terhadap sistem pengaliran darah dengan
menguatkan salur darah dan kapilari. Ia telah menunjukkan kesan yang
memberangsangkan bila digunakan untuk merawat kejang kaki, bengkak kaki
dan masalah kaki terasa berat dan kebas.
Daun pegaga berfungsi sebagai astrigensia dan tonikum. Pegaga juga digunakan untuk
revitalisasi tubuh dan otak yang lemah serta untuk kesuburan wanita.
Kesimpulannya pegaga sesuai untuk penyakit berikut :
1.Pembengkakan Hati
2. Demam, Campak
3. Sakit Tekak, Batuk Kering,
4. Asma, Brokitis, Pleuritis
5. Radang Mata Merah
6. Keputihan
7. Tekanan Darah Tinggi
8. Sakit Perut, Disentri, Cacing, Buasir
9.Tidak Selera Makan, Sakit Perut, Disentri, Cacing, Buasir
10. Keracunan Makanan
11. Batuk Darah, Muntah Darah
12. Busung, bisul
13. Infeksi Saluran Kencing (kencing kotor)
14. merangsang otak – kuat daya ingatan (mencegah nyanyuk)
15. melambatkan proses penuaan
Sifat dan Manfaat
Pegaga
atau nama saintifiknya Cantella asiatica boleh membangkitkan selera
makan, membantu meredakan masalah penghadaman, mengatasi masalah buasir
kerana mengandungi serat. Ia juga mampu melancarkan aliran darah,
terutama bagi wanita yang ada masalah haid. Pegaga juga dijadikan ubat
untuk merawat masalah keputihan yang menyebabkan faraj terasa gatal.
Air
perahan daun pegaga juga dikatakan boleh menyejukkan badan dan elok
diamalkan jika demam, mengalami masalah berak berdarah atau lelah.
Amalan minum air rebusan akar pegaga ini dipercayai boleh membantu
mengawal paras gula dalam darah di kalangan pesakit kencing manis.
Malah, ada yang menjadikannya sebagai minuman untuk menguruskan badan.
Selain
itu, pegaga juga telah lama digunakan sebagai tonik untuk membersihkan
darah, merawat ulser, sifilis, dan kelenjar limfa. Amalan meminum jus
pegaga amat mujarab untuk membantu mereka yang bermasalah untuk tidur,
merawat kerengsaan kulit dan tekanan darah tinggi. Walaupun pegaga amat
baik dimakan mentah tetapi daun yang diramas dengan sedikit air amat
baik jika disapukan pada kudis dan luka. Di samping itu, pegaga juga
memberi kesan kepada beberapa peringkat pembentukan tisu seperti
menghilangkan parut, membina kolagen, merangsang pembentukan rambut dan
kuku. Pegaga juga dipercayai boleh mempercepatkan proses penyembuhan
luka, ulser dan masalah kulit lain. Oleh itu tidak hairan jika ia
dijadikan makanan wajib bagi wanita berpantang supaya luka bersalin
lebih cepat sembuh.
Mengamalkan meminum jus pegaga dapat
meningkatkan daya ingatan seseorang, disamping dipercayai boleh
meningkatkan kebaikan prestasi kanak-kanak yang mengalami kecacatan
akal.
Dewasa ini produk yang berasaskan pegaga telah di gunakan
dengan meluas dalam industri kecantikan sebagai anti selulit, anti
kedutan (anti wrinkle), untuk mata dan muka, menambah ketegangan kulit
dan meningkatkan pembentukan kulit yang baru.
http://www.bio-asli.com
-------------------------------------------------
Tumbuhan
seperti pegaga mempunyai pelbagai keunikan untuk meningkatkan tahap
kesihatan seseorang termasuk di kalangan kanak-kanak kurang upaya.
Profesor
di Fakulti Sains dan Teknologi Pemakanan, Universiti Putra Malaysia
(UPM), Prof Dr Suhaila Mohamed menyifatkan tumbuhan herba yang lazimnya
dijadikan ulam-ulaman itu membantu meningkatkan keupayaan dari segi
pengawalan saraf di kalangan kanak-kanak terbabit.
Ini kerana
pegaga mempunyai kesan pelalian pada saraf. Bagi mereka yang mahu
meningkatkan daya ingatan, pegaga antara pilihan herba yang baik
berdasarkan hasil kajian dijalankan UPM kira-kira dua tahun lalu.
Kajian
di kalangan lelaki dan wanita lingkungan usia 35 hingga 55 tahun itu
mendapati pegaga bukan saja berupaya meningkatkan ingatan malah
mengurangkan paras glukos dan kolesterol. Bagi lelaki pula, Prof Suhaila
mengakui ia didapati dapat meningkatkan tenaga seksual.
Di
pelosok dunia lain, penggunaan pegaga atau secara saintifiknya dikenali
sebagai centella asiatica turut tersenarai dalam dunia perubatan herba
ayurveda dan tradisional Cina. Perubatan ayurveda menyifatkan tumbuhan
herba ini sebagai tonik otak, antara lain bagi membantu meningkatkan
daya ingatan, usia panjang dan mengekalkan keremajaan.
Dalam
perubatan berkenaan, seluruh bahagian pegaga dianggap sesuai untuk
membantu meningkatkan daya ingatan. Di kalangan masyarakat India,
tumbuhan berkenaan dipercayai membantu mengatasi pelbagai masalah lain
seperti sakit kepala, sakit badan, asma, ulser serta menyembuhkan luka.
Perubatan
tradisional Cina pula memanfaatkan pegaga untuk membantu mengatasi
masalah keletihan secara fizikal dan mental. Dalam pelbagai kajian lain,
pegaga memiliki pelbagai kegunaan untuk membantu meningkatkan tahap
kesihatan seseorang termasuk pembentukan kolagen, membolehkan seseorang
tidur lebih lena, merangsang selera makan serta membantu dari segi
rawatan pernafasan, reproduktif, saraf, antiradang dan meningkatkan
pengaliran darah.
Dalam penyelidikan yang menggunakan tikus
sebagai sampel, didapati tikus yang diberi makan pegaga lebih aktif dan
tubuh haiwan itu kurang lemak manakala organ dalaman tikus itu juga
lebih sihat berbanding tikus yang tak diberi makan pegaga, jenis pegaga
yang agak popular ialah pegaga gajah dan pegaga kampung dikategorikan di
bawah spesies centella asiatica.
Pegaga yang turut
dikomersialkan masa kini antaranya dalam bentuk sabun namun ia boleh
dimanfaatkan dalam pelbagai bentuk barangan lain termasuk barangan
kosmetik memandangkan keupayaan pegaga serupa seperti vitamin C.
Lebih
elok jika mengambil pegaga mentah atau segar tetapi lantaran kesuntukan
waktu kini, tak salah jika ia dikomersialkan kerana penggunaannya
mungkin lebih mudah.
---------------------------
Pegaga
mengandungi bahan aktif seperti triterpenoid glikosida (terutama
asiatikosida, asid asiatik, asid madecassik, madikassosida), flavenoids
(kaemferol dan quercetin), volatile oils (vallerin, camphor, cineole dan
sterols tumbuhan seperti campesterol, stigmasterol, sitosterol),
pektin, asid amino, alkaloid hydrocotyline, myositol, asid bramik, asid
centellik, asid isobrahmik dan asid betulik. Di Malaysia, pegaga amat
popular di kalangan tiga kaum utama negara ini iaitu Melayu, Cina dan
India. Bagi kaum Melayu, ia di makan secara segar sebagai ulam, bagi
kaum Cina digunakan sebagai minuman penyejuk badan, manakala bagi kaum
India, digunakan sebagai tonik kecerdasan minda.