Faedah Bertungku Kepada Ibu
Selain
berurut dan rawatan lain yang dilakukan untuk melegakan dan menegangkan
kembali otot-otot yang longgar, bertungku juga penting dalam proses
mengembalikan kesegaran dan mengecutkan rahim. Bertungku bererti menuam
bahagian tertentu badan dengan menggunakan batu atau besi yang
dipanaskan (mungkin juga dengan bahan yang lain).
Tujuan
bertungku ialah untuk megeluarkan saki baki darah kotor, mengecutkan
dan memulihkan rahim dan juga urat saraf di sekeliling peranakan dan
bahagian-bahagian lain. Ketika bertungku badan akan berpeluh dan terasa
hangat. Ini akan memudahkan pemulihan tenaga. Bertungku dilakukan
sebelum ibu mandi pada waktu pagi dan petang ketika ibu dalam posisis
berbaring, kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu.
Batu
atau besi tungku dipanaskan selama lebih kurang beberapa minit.
Kemudian, dibalutkan dengan beberapa lapis kain (yang disusun di
dalamnya daun mengkudu pada setiap lapis) menurut kepanasan tungku yang
dapat ditanggung oleh kulit. (sekarang terdapat beberapa jenis tungku
moden...dan kaedahnya juga berlainan dengan tungku tradisional). Setelah
dibalut rapi pangkal batu / besi diikat supaya kain tidak terburai
(terbuka).
Bahagian Badan Yang Perlu Ditungku
Bahagian Peranakan
Bertujuan untuk mengecutkan peranakan yang membesar sewaktu mengandung. Peranakan juga perlu disangkak (dinaikkan) atas
dengan menolak bahagian rahim dari bawah sehingga menghampiri bahagian
pusat. Menyangkak hanya boleh dilakukan oleh orang yang mahir.
Peranakan
yang tidak dinaikkan menyebabkan perut menjadi buncit dan terasa tidak
selesa, seolah-olah adanya benda menonjol yang hendak keluar dari faraj.
Bertungku di bahagian ini memakan masa lebih kurang 25 minit. Bertungku
juga memerlukan kemahiran. Ada juga orang yang menaikkan peranakan
dengan berurut terlebih dahulu. Setelah itu barulah beralih ke bahagian
lain, iaitu di bahagian kemaluan.
Bahagian Badan
Iaitu
di bahagian dada, ulu hati, tengkuk, ketiak dan belikat. Bertungku di
bahagian ini dilakukan ketika ibu dalam keadaan berbaring. Tungku
diletakkan di sekitar buah dada, supaya darah mengalir dengan baik,
membolehkan air susu keluar dengan lancar. Selepas itu baru beralih ke
bahagian ulu hati, iaitu untuk memecahkan angin di bahagian perut dan
ulu hati. Lakukan dalam masa lebih kurang 5 – 10 minit sahaja.
Setelah
itu beralih ke bahagian ketiak kanan dan kiri. Kemudian barulah
dilakukan di bahagian belikat kanan untuk beberapa minit, yang
kemudiannya dipindahkan ke bahagian kiri.
Di
bahagian tengkuk, bertungku dilakukan dengan meletakkan tungku di bawah
tengkuk seperti orang berbantal. Bahagian ini perlu ditungku untuk
memulihkan perjalanan darah di bahagian kepala dan leher.
Bahagian Bawah
Iaitu
bahagian betis,paha, punggung, pinggang, pelipat, pergelangan kaki dan
tapak kaki. Bertungku di bahagian-bahagian ini memerlukan masa antara 15
– 20 minit pada setiap bahagian. Pada bahagian terakhir, iaitu di tapak
kaki, kaki dirapatkan menjadi satu kemudian digerakkan ke hadapan dan
ke belakang, atau dengan mengolek-golekkan tungku ke hadapan dan ke
belakang sekiranya tungku itu berbentuk bujur atau bulat. Biarkan tungku
berada di bahagian ini sehingga sejuk.
No comments:
Post a Comment